Friday, May 14, 2010

Suku Kaum Bidayuh Sarawak

KAUM BIDAYUH

Kaum Bidayuh adalah adalah masyarakat yang mendiami kawasan barat daya Sarawak,
terutamanya Bahagian Serian, Kuching dan di barat Kalimantan. Mereka terdiri daripada empat
etnik iaitu;-

1) Selakau/Lara (Daerah Lundu)
2) Jagoi/Singai (Daerah Bau)
3) Biatah (Daerah Kecil Padawan)
4) Bukar/Sadong (Daerah Serian)

Mereka kebanyakan beragama Kristian. Hanya sebahagian sahaja yang menganut agama Islam dan
animisme.

Pada zaman dahulukala, kaum Bidayuh tinggal di rumah panjang. Lazimnya penempatan rumah
panjang suku kaum Bidayuh terletak jauh di kawasan perdalaman dan tanah tinggi. Ini adalah bagi
tujuan keselamatan iaitu sukar untuk dikesan oleh musuh. Struktur rumah panjang kaum Bidayuh
tidak jauh bezanya dengan struktur rumah panjang masyarakat Iban di Sarawak. Atap rumah panjang
kaum Bidayuh diperbuat daripada atap rumbia atau sagu, manakala dindingnya pula daripada buluh.
Pelantar atau lantai rumah panjang pula diperbat daripada papan atau buluh manakala tiangnya pula
dipebuat daripada kayu belian.
Rumah panjang masyarakat Bidayuh terbahagi kepada tiga bahagian iaitu bilik utama, awah dan
tanju. Bilik utama dapat kita samakan dengan ruang utama kediaman pada masa sekarang. Di bilik
ini, Masyarakat Bidayuh lazimnya meletakkan barang-barang peribadi milik keluarga dan keturunan
mereka seperti gong, tempayan, tembikar dan sebagainya. Ruang ini juga berfungsi sebagai tempat
tidur di kala malam hari. Awah pula adalah bahagian pelantar di luar rumah panjang masyarakat
Bidayuh dan lazimnya ia bertutup dan beratap. Ia dapatlah disamakan dengan berandah rumah pada
dewasa ini. Di awah, masyarakat Bidayuh menjalankan aktiviti-aktiviti harian mereka seperti
menganyam, berbual, membuat peralatan bertani dan sebagainya. Ruangan awah juga akan
digunakan untuk sebarang upacara keagamaan seperti perkahwinan, pantang-larang dan pesta-pesta
tertentu seperti Gawai dan sebagainya. Tanju pula adalah bahagian terluar di dalam rumah panjang
masyarakat Bidayuh. Bahagian tanju agak terdedah dan lazimnya ia tidak berdinding mahupun
beratap. Tanju lazimnya digunakan untuk menjemur hasil tuaian masyarakat Bidayuh seperti padi,
lada, jagung dan sebagainya.


BAHASA BIDAYUH

Bahasa Bidayuh agak unik berbanding bahasa lain yang terdapat di Sarawak. Keunikan ini
adalah berdasarkan sebutan, pertuturan, gerak gaya dan alunan yang dipertuturkan. Lazimnya bahasa
Bidayuh akan berubah intonasi dan bahasa mengikut kampung dan daerah tertentu. Ini menyebabkan
suku kaum lain sukar untuk berkomunikasi antara satu sama lain sekiranya mereka dari suku dan
daerah yang berlainan. Sebagai contoh suku Bidayuh dari kawasan Serian menyebut "makan" ialah
"ma-an" mankala suku Bidayuh dari kawasan Bau pula menyebut "makan " sebagai "man".




PAKAIAN TRADISIONAL BIDAYUH

Warna hitam adalah warna utama dalam pemakaian masyarakat Bidayuh. Bagi kaum wanita masyarakat Bidayuh,
pakaian lengkap adalah termasuk baju berlengan pendek atau separuh lengan dan sepasang kain sarung
berwarna hitam paras lutu yang dihiasi dengan manik pelbagai warna disulami dengan kombinasi
warna utama iaitu putih, kuning dan merah. Tudung kecil separuh tinggi dengan corak anyaman yang
indah atau penutup kepala daripada kain berwarna warni dengan sulaman manik halus adalah pelengkap
hiasan kepala wanita masyarakat Bidayuh. Kaum lelaki masyarakat Bidayuh pula lazimnya mengenakan
sepasang persalinan berbentuk baju hitam separa lengan atau berlengan pendek dengan sedikit corak
berunsur flora dan seluar hitam atau cawat yang berwarna asas seperti biru, merah dan putih. Kain lilit
kepala pula adalah pelengkap hiasan kepala kaum lelaki masyarakat ini.



MUZIK MASYARAKAT BIDAYUH

Bagi masyarakat Bidayuh, muzik memainkan peranan yang penting dalam setiap upacara keagamaan
yang mereka jalankan. Muzik ini berperanan menaikkan semangat, mengusir roh jahat dan sebagai
pententeram kepada semangat roh. Muzik juga memainkan peranan dalam pemberitahuan motif sesuatu
upacara yang dijalankan. Umumnya, muzik tradisional masyarakat Bidayuh terdiri daripada sepasang
gong besar, canang, gendangdan tawak (sejenis gong kecil). Terdapat juga alat muzik tradisional yang
lain seperti serunai/seluring dan gitar buluh. Namun alat muzik seperti ini amat kurang dimainkan
kerana proses pembuatan yang amat rumit.




SENJATA TRADISIONAL BIDAYUH

Lembing, tombak parang ilang (parang pendek). sumpit, "jepur" (seakan samurai} dan "rira"
{meriam kecil} adalah peralatan senjata yang lazimnya digunakan oleh masyarakat Bidayuh untuk
berperang pada zaman dahulukala. Maakala peralatan senjata seperti parang, cangkul dan sabit
selalunya digunakan untuk aktiviti pertanian.


No comments:

Post a Comment